Thursday, May 28, 2015

Pegenalan

Karya Agung

Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan  perlakuannya. Karya yang ketika dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi  untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.        

Karya agung merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya agung dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya masyarakat yang menghasilkannya. Ia juga melambangkan daya cipta dan kerativiti sesuatu bangsa untuk melambangkan identitinya yang tersendiri. Hal ini menyebabkan falsafah, pemikiran, karya seni, budaya dan sastera yang terdapat dalam karya agung menjadi pegangan dan panduan bagi masyarakat yang yang hidup pada zaman ini. Karya-karya agung ini mengungkapkan pelbagai perkara termasuklah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan karya agung yang ada pada hari ini dikaji untuk diketahui isi kandungannya dan ada di antara isi kandungan itu masih berguna sehingga hari ini dan dipelajari. Keadaan ini membuktikan bahawa karya agung itu adalah satu hasil penulisan yang berkualiti dan ditulis oleh orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi dalam masyarakat tersebut.


Karya Agung Melayu
Karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis, dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral, dan visi bangsanya. Kesemuanya itu digambarkan dalam bentuk sastera dan seni yang tinggi niainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu banyak terbentuk daripada tradisi sastera agung ini. Karya agung Melayu bererti karya yang ditulis atau diungkapkan dalam bahasa Melayu. Karya-karya ini termasuklah pepatah, pantun, penglipur lara dan lain-lain. Ia tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini sama ada orang semenanjung Tanah Melayu, Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan lain-lain. Sempadan geogerafi tidak menjadi persoalan, sebaliknya pemikiran yang mampu dicetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun itu yang diutamakan.
Antara karya-karya Agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.


Karya yang dikaji.



HIKAYAT ABDULLAH MUNSYI - KARYA KLASIK


1.0              Pengenalan
Hikayat Abdullah ini ditulis kerana permintaan seorang sahabat, iaitu orang putih, untuk memaparkan pengalaman hidupnya sejak kecil dan hubungannya dengan beberapa tokoh sejarah seperti Raffles, Farquhar, Sultan Husin Syah, Crawfurd, dan ramai lagi. Hikayat ini merupakan kisah yang menceritakan perihal Munsyi Abdullah yang menjurus kepada aspek-aspek kehidupannya.  Permulaan hikayat ini menceritakan kelahiran Abdullah yang dimulakan tentang serba sedikit latar belakang ahli keluarganya, sejarah susur galur keturunannya, kisah bapanya yang juga merupakan seorang pengarang suatu masa dahulu.  Dalam bahagian permulaan juga diceritakan tentang kisah kelahiran Munsyi Abdullah dan diteruskan dari zaman sewaktu beliau masih bayi sehingga ke peringkat kanak-kanak.
Seterusnya, hikayat ini menceritakan tentang permulaan Abdullah Munsyi menuntut ilmu.  Pada peringkat ini diceritakan tentang beliau mula belajar menulis dan menuntut ilmu daripada bapanya serta beberapa orang guru.  Pelbagai pengalaman telah dilaluinya dalam mendalami ilmu membaca, menulis dan mempelajari bahasa-bahasa lain dan perihal hukuman yang dijalankan di tempat beliau menuntut ilmu.  Selain itu, bahagian ini menceritakan kisahnya yang telah membantu seorang nakhoda menulis surat perjanjian berhutang.  Bermula dari perkara tersebut, Abdullah mula menunjukkan minat dalam bidang penulisan walaupun masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya.
Hikayat ini diteruskan dengan bahagian permulaan Abdullah mengarang.  Dalam bahagian ini, beliau menulis perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya.  Pelbagai cerita yang telah tercatat pada bahagian ini.  Antara cerita yang tercatat olehnya pada bahagian ini, iaitu kisah orang-orang Inggeris yang diketuai oleh Farquhar yang ingin merobohkan kota Melaka.  Beliau telah menceritakan tentang kebaikan pemerintah Inggeris dalam bahagian ini, Abdullah telah mempersoalkan masyarakat Melayu yang kurang mengambil berat tentang pendidikan serta membandingkan golongan wanita pada waktu itu.  Selain itu, bahagian ini turut menceritakan tentang kisah Inggeris hendak menyerang Tanah Jawa, kisahnya yang mula belajar bahasa Inggeris, perihal orang Melayu yang sezaman dengannya yang dimomokkan dengan perkara tahyul, kisah Abdullah yang bersama paderi Thomson, permulaannya sebagai seorang penterjemah dan permulaan pendidikan awal Inggeris serta halangan-halangan yang dihadapi olehnya.
 Bahagian hikayat ini turut menceritakan tentang perkahwinan Abdullah.  Permulaan bahagian ini menceritakan tentang bantuan yang diberikan oleh paderi Milne kepadanya.  Dalam bahagian ini diteruskan dengan pembukaan pusat pengajian dan usahanya dalam percetakan huruf-huruf.  Bahagian ini turut menceritakan tentang pengambilalihan Melaka dari pihak Inggeris kepada Belanda, kisah pembentukan pemerintahan Singapura dan pengambilalihan kuasa oleh Inggeris.  Kisah tersebut diteruskan dengan pembunuhan Sayid Yassin, seorang ahli perniagaan Melayu dan diselang seli dengan kisah pemberontakan antara orang Melayu Melaka dengan orang Temenggung.  Abdullah turut menceritakan tentang pembukaan Raffles Institution, hubungan persahabatan Siam dengan Inggeris, kisah mengenai kongsi gelap, syair Singapura terbakar dan kisah orang Inggeris menyerang Naning.
Bahagian seterusnya menceritakan perihal Abdullah yang telah menjadi pengarang besar.  Dalam bahagian ini beliau menceritakan tentang kisah-kisah lawatannya.  Berdasarkan lawatannya ke Pahang, Kelantan dan Terengganu, beliau mempersoalkan kelebihan dan kekurangan masyarakat yang hidup di kawasan tersebut.  Bahagian ini turut menceritakan sedikit tentang lawatannya ke tanah suci dan detik-detik akhir riwayat hidupnya.  Bahagian berikutnya merupakan pandangan Abdullah terhadap masyarakat pada zamannya yang hidup dalam keadaan kucar kacir dan mempersoalkan ketidakadilan pembesar dan raja pada waktu itu.  Bahagian terakhir dalam hikayat ini memperihalkan tentang Abdullah pada pandangan kita di zaman ini.  Dalam bahagian ini menceritakan bagaimana beliau mengisahkan perjalanan hidupnya yang diselang seli dengan kisah yang berlaku semasa hayatnya.  Selain itu, bahagian ini menjurus kepada pandangan Abdullah terhadap bangsanya sendiri dan usahanya dalam membangunkan ilmu bahasa Melayu bagi menjadi rujukan kepada masyarakat zaman ini.

2.0              Ciri-ciri Karya Agung dalam Hikayat Abdullah
2.1              Pemikiran (Isi dan Mesej)
Pemikiran dalam karya sastera bermaksud subjek yang dibawa oleh pengarang dalam menghasilkan sesuatu karya.  Bermula daripada idea dan pengalaman yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema sesebuah karya.  Berikut merupakan antara pemikiran yang terdapat dalam Hikayat Abdullah Munsyi:
i.      Pandangan terhadap pemikiran terhadap kepercayaan orang Melayu
Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul.  Beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu.  Abdullah begitu kuat menentang adat dan kepercayaan usang terutama kepercayaan karut-marut dan bertentangan dengan Islam yang masih kuat dipegang masyarakat pada zamannya.  Abdullah berpendapat punca kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu adalah kurangnya beriman seseorang terhadap Allah dan Rasul.  Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.
“Nasihat: Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Taala, adakah sebab dijualkan  itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oleh ibu bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.” (Hikayat Abdullah, 2007:15)

ii.    Pandangan dan pemikiran terhadap menuntut ilmu
Selain itu, terdapat juga petikan di dalam Hikayat Abdullah ini yang menerapkan unsur keislaman ini.  Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi ini, pendidikannya sedari kecil sangat menitik beratkan hal-hal keagamaan dan keilmuan.  Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu;
“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.” (Hikayat Abdullah, 2007: 19)

2.2              Nilai Budaya
  Budaya adalah daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksdu budi pekerti atau akal.  Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia.  Dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia.  Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.
i.                    Berbudi pekerti
Abdullah menyifatkan paderi Inggeris iaitu Tuan Milne sebagai seorang yang bersopan-santun.
“…..kedua sukacita oleh sebab mendengar khabar dan budi bahasa Tuan Milne terlalu baik, ia bertutur itu dengan hormatnya,…”  (Hikayat Abdullah, 2007:97)
ii.                  Peribahasa
Dalam Hikayat Abdullah, terdapat banyak peribahasa yang digunakan masyarakat Melayu.  Budaya peribahasa ini menujukkan bahawa masyarakat Melayu dahulu sangat mementingkan kesantunan semasa bertutur.  Contohnya:
“Kerana ada aku mendengar khabar di negeri Inggeris orang yang pandai-pandai dengan hikmatnya dapat ia mengetahui perkara-perkara yang demikian itu dengan mudahnya, baik daripada barang-barang bahasa, atau bangsa adanya. Seperti kata Melayu “tak boleh dibaiki, jangan dipecahkan”. (Hikayat Abdullah, 2007:169)
“Maka baharulah sekarag aku menyesal; akan tetapi apakah gunanya. Seperti kata Melayu, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian itu suatu pun tiada apa gunanya”. (Hikayat Abdullah, 2007:170)
iii.                Adat melayu
Dalam Hikayat Abdullah juga terdapat contoh adat Melayu yang menunjukkan kepatuhan rakyat dalam mematuhi undang-undang dalam masyarakat Melayu itu sendiri.
“Maka setelah sudah berkampung, maka Tuan Raffles pun duduklah di atas tempat bicara itu, katanya, “Tuan Sultan dan Temenggung, bagaimanakah adat dalam undang-undang orang Melayu, jikalau seorang rakyat menderhaka kepada rajanya dengan demekian ini?” maka jawab Sultan, “Tuan, aklau adat Melayu, orang itu dibunuh habis-habis dengan anak bininya dan kaum keluarganya. Maka tiang rumahnya dibalikkan ke atas, dan bumbungan rumahnya ke bawah; dan tanah bekas rumahnya itu pun dibuangkan ke laut adanya.” Syahadan apabila didengar oleh Tuan Raffles akan perkataan Sultan itu, jawapnya, “itu hukum bukanya adil. Maka kalau barang siapa yang bersalah, dialah patut dihukumkan. Mengapa anak bininya yang tiada tahu barang sesuatu dibunuh? Sekarang Tuan Sultan dan Temenggung serta segala tuan-tuan yang ada dalam majlis ini bolehlah mendengar; ada tersebut dala undang-undang aat hukum orang Inggeris, orang itu yang menderhaka patut digantung.” (Hikayat Abdullah, 2007:178)

2.3              Pandangan Hidup
Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam dari perspektif Islam ialah pandangan tentang akhirat.  Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.  Antara pandangan hidup di dalam Hikayat Abdullah, iaiah:
i.                    Pandangan hidup mengenai kepercayaan karut
Masyarakat pada zaman Hikayat Abdullah masih mempercayai kepercayaan karut dan diamalkan oleh penduduk sekelilingnya.  Sebagai contoh, dipercayai oleh masyarakat pada ketika itu, bayi yang baru dilahirkan sekiranya sering sakit maka bayi tersebut dikatakan tidak sesuai untuk dibela oleh ibu bapa kandung bayi tersebut dan haruslah diserahkan kepada keluarga yang mempunyai ramai anak untuk menjaga bayi tersebut. Perkara ini dapat dibuktikan melalui contoh teks tersebut:
“Hatta maka dengan hal yang demikian, maka kata orang-orang sekalian, “jikalau demikian hal budak ini, tiada berhenti daripada penyakit sahaja, bahawa barangkali ibu bapanya tiada serasi memeliharakan dia ; baiklah dijualkan kepada orang yang ada beranak banyak; kerana demikianlah diperbuat oleh orang tua-tua.” (Hikayat Abdullah, 2007:10)


ii.                  Pandangan hidup mengenai pentingnya pelajaran
Pada zaman itu juga, pelajaran amat dipentingkan oleh semua orang sehinggakan diceritakan dalam Hikayat Abdullah, untuk menimba ilmu pada pagi dihantar ke sekolah dan pada malam hari pula akan diajar oleh bapa pula.  Sepanjang tempoh menuntu ilmu itu, badan pencerita itu sering kali dipukul, ditampar, dirotan dan berbagai cara lain supaya cepat faham akan ilmu yang dipelajari.  Perkara ini menunjukkan masyarakat pada zaman itu mementingkan pelajaran sampai ke tahap begitu.  Hal ini boleh dilihat dalam contoh teks tersebut:
“Maka pada tiap-tiap pagi aku pergi mengaji ke tempat belajar, dan malam-malam diajar oleh bapaku di rumah. Maka beberapa banyak kena pukul dan tampar dan beberapa papan loh yang pecah-pecah dihempaskan oleh guruku di kepalaku, dan beberapa rotan pecah-pecah ditubuhku,  dan beberapa kali ditangisi oleh bondaku akan daku sebab banyak kena pukul itu.” (Hikayat Abdullah, 2007:14)
2.4               Nilai Ilmu
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al.(2011)  nilai diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang merujuk kepada harga yang ditetapkan pada seseuatu.  Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji berdasarkan Hikayat Abdullah antaranya ialah:
i.                    Ilmu Firasat
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:412), firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Berikut merupakan contoh-contoh ilmu firasat yang terdapat dalam Hikayat Abdullah:
“Jikalau diusiknya sahaja kota ini, nescaya banyaklah orang mati, kerana ada beberapa banyak jin syaitan dalam kota itu.” ( Hikayat Abdullah, 2007:41)
ii.                  Ilmu Pendukunan
Dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Berikut merupakan contoh ilmu pendukunan dalam Hikayat Abdullah:
“Syahadan, maka adalah pada masa itu, dalam Melaka datang seorang, iaitu datang dari Terengganu, bernama Pawang Gajah. Maka asalnya ia orang Kedah yang tau pada ilmu gajah dan berbagai-bagai ubatan.” (Hikayat Abdullah, 2007:47)

iii.                Ilmu sains
  Contoh ilmu sains dalam Hikayat Abdullah:
“maka lain pula ada beberapa ribu jenis binatang-binatang yang telah di buang isinya dan tulangnya, maka diisinya dengan kapas dalamnya. Maka kelihatan rupanya seperti binatang hidup sungguh adanya.” (Hikayat Abdullah, 2007:204 )

iv.                Ilmu bahasa
Ilmu bahasa (linguistik) adalah ilmu tentang bahasa atau ilmu yang menjadikan bahasa sebagai objek kajiannya atau lebih tepat lagi telah ilmiah mengenai bahasa manusia.  Berikut merupakan contoh ilmu bahasa dalam Hikayat Abdullah:
“Kemudian kataku, “Tuan, sahaya terlalu suka hendak belajar bahasa Inggeris”. Maka jawabnya, “Baiklah, sahaya boleh ajar, akan tetapi ajar sama sahaya bahasa Melayu.” (Hikayat Abdullah: 2007:97)

2.5              Estetika dan Teknik Kepengarangan
Estetik umumnya dikaitkan dengan persoalan keindahan yang menjadi unsur keindahan pembinaan karya sastera manakala kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. (Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, 2014:96). Teknik secara umumnya bermaksud kaedah mencipta sesuatu hasil seni (muzik, karang-mengarang).
2.5.1        Kepengarangan Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah
i.                    Karya berbentuk realistik
Munsyi Abdullah merupakan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.  Jadi, penulisan Hikayat Abdullah adalah berbentuk autobiografi dalam bentuk realistik.  Pengarang menulis hikayat ini berdasarkan pengalamannya sendiri, iaitu kehidupan sebagai manusia yang benar-benar berlaku dan dialaminya sendiri setelah kelahirannya.  Karyanya itu juga memperkatakan kehidupan rakyat biasa secara realistik, jauh berbeza daripada karya-karya sebelum beliau seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang bertemakan kehidupan bangsawan dan digerakkan oleh unsur mitos dan legenda yang penuh dengan unsur kesaktian dan magis.  Karyanya dicipta dan dikarang sendiri atas permintaan seorang sahabatnya yang berbangsa Inggeris sehingga akhirnya turut dinikmati oleh masyarakat.

ii.                  Aspek bahasa dan tulisan
Pengarang menggunakan bahasa Melayu klasik dalam Hikayat Abdullah. Beliau masih terikat kepada bentuk bahasa Melayu lama yang terdapat dalam hikayat-hikayat lama.  Ayat-ayat dalam hikayat ini adalah panjang dan kosa kata klasik seperti sahaya dan masyghul turut digunakan.  Kata pangkal ayat maka, kalakian, arakian dan sebermula banyak ditemui dalam hikayat ini.
Selain itu, pengarang ada menggunakan tulisan Jawi dalam hikayat ini. Bukan itu sahaja, kata pinjaman bahasa Inggeris (electricity, commission, arithmetic) dan kata pinjaman bahasa Arab (khatib, syaaban, sayid) juga turut dimuatkan ke dalam penulisannya.
iii.                Pemikiran dan sikap keterbukaan terhadap orang Inggeris
Dalam Hikayat Abdullah, pengarang menunjukkan sikap terbukaannya terhadap kehadiran orang Inggeris ke Melaka.  Pengarang juga menjalinkan hubungan yang sangat baik dan rapat dengan beberapa orang Inggeris. Hubungan Abdullah dengan seorang paderi bernama Tuan Milne sangat baik. Walaupun perhubungan tersebut dikecam oleh masyarakat Melayu pada ketika itu, namun beliau masih tetap mengajarkan bahasa Melayu kepada Tuan Milne dan diajari bahasa Inggeris oleh Tuan Milne.  Pengarang yakin pembelajaran bahasa Inggeris akan membawa manfaat kepadanya pada masa akan datang.  Di sini boleh dilihat kekuatan pemikiran pengarang tentang kepentingan  berbanding orang-orang Melayu yang berfikiran sempit tentang orang Inggeris dan bahasanya.
Malah, beliau juga menyifatkan perlakuan orang Inggeris sangat bersopan-santun dalam pertuturan.  Budi bahasa orang Inggeris sangat tinggi dan pengarang berasa senang dengan cara dan gaya percakapan mereka.  Selain itu, pengarang turut mengagumi kebijaksanaan orang Inggeris dalam ilmu kira-kira dan kemajuan mereka dalam sains teknologi yang jauh meninggalkan orang Melayu.  Dapat disimpulkan bahawa pemikiran pengarang terhadap orang Inggeris adalah positif.
2.6              Seni Bahasa
Pelbagai gaya bahasa yang terdapat dalam Hikayat Abdullah, antaranya ialah:
i.                    Majaz perbandingan - simile
“Lalu bercakaplah Tuan Raffles pada masa itu dengan tersenyum-senyum simpul serta muka manis, dengan menunduk-nundukkan kepalanya.  Manisnya seperti laut madu.....Maka pokok angin yang amat kencang serta dengan gelap-gelita itu pun seperti ribut yang besar akan turun, bahawa sekalinya hilanglah, sehingga teranglah cuaca. (Hikayat Abdullah, 2007:156-157)
ii.                  Skema perulangan – polisindeton
“Maka sebentar-sebentar rumah terbakar, dan sebentar-sebentar pencuri siang-siang hari, dan sebentar-sebentar orang bertikam.” (Hikayat Abdullah, 2007:161)
iii.                Retorik
a.       Retorik pemerian
Contohnya:
“Tuan Farquhar sudah lama bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud. Semasa dia di Melaka, khabar yang kudengar mengatakan Tengku Long sudah mengambil wang daripada Kolonel Farquhar.” (Hikayat Abdullah, 2007:154)
b.      Retorik penceritaan
Contohnya:
Bermulalah adapun yang kukatakan lalaiku dan aku mengaku bodohku itu adalah demikian, iaitu lapan Sembilan bulan lamanya aku dalam negeri Singapura, maka pulanglah pula aku ke Melaka duduk tiga bulan, maka segala pendapatanku yang di Singapura itu terhentiah, dan yang mana telah kudapati  itu, maka barulah aku balik ke Singapura.” (Hikayat Abdullah: 2007:200)
c.       Retorik pemujukan
Contohnya:
 “Boleh sahaya sumpah betul begitu”. (Hikayat Abdullah:229)
Maka jawabnya, “Tiada boleh membukakan barang satu rahsia kepada orang asing lain daripada muafakat ini, redala sahaya dibunuh”. (Hikayat Abdullah, 2007:229)


3.0              Kesimpulan
Abdullah Munsyi menggunakan bentuk laporan dalam membina karya-karyanya.  Dia melaporkan apa saja yang terjadi pada dirinya, yang dilihat dan dialami.  Walau bagaimanpun, dia bukanlah seperti wartawan kerana dia juga mengemukakan cadangan dan nasihat dalam karya-karyanya.  Bentuk penulisan kritikan juga terlihat dalam karyanya terutama kritik terhadap raja-raja Melayu.  Seperti karya cereka, Abdullah juga menggunakan dialog dalam penceritaan di samping diksi watak-watak bagi menyampaikan maksud atau persoalan yang dikemukakan.  Diteliti karya-karya Abdullah Munsyi, dapat dibuat kesimpulan bahawa Abdullah telah jauh meninggalkan bentuk penulisan sastera lama.  Ini tergambar pada persoalan atau tema yang dikemukakan, pada plot cerita, perwatakan, latar cerita dan sudut pandangan.  Hanya gaya bahasa yang masih kekal seperti gaya bahasa sastera lama.  Karyanya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan dokumentasi yang penting.







NOVEL SALINA - KARYA MODEN

1.0              Pengenalan
Novel ini pada mulanya bertajuk “Gerhana” kemudian diterbitkan sebagai “Salina”.  Menurut A. Samad Said, buku ini pada mulanya diberi nama “Gerhana” sebagai pernyataan simbolik tentang isinya tetapi setelah difikirkan semula nama simbolik itu telah ditukar kepada nama yang lebih tepat. Tema dan persoalan novel ini ialah mengenai peperangan dan kesan perang.  Pengarang memaparkan kesan-kesan peperangan kepada masyarakat.  Yang lebih ditumpukan bagaimana perang lebih menekan golongan rakyat jelata.  Rakyat terpaksa hidup dalam keadaan ketakutan, kebimbangan dan sering terancam oleh bahaya peperangan yang tidak mengenal erti belas kasihan.  Ditambah pula zaman peperangan merupakan zaman susah. Rakyat hidup dalam keadaan kelaparan kerana kekurangan makanan dan bahan pakaian. Di samping gambaran keadaan zaman peperangan, novel ini juga menyentuh tentang keadaan yang dialami oleh manusia yang menjadi mangsa peperangan.  Bagaimana mereka terpaksa meneruskan kehidupan dengan penuh cabaran dan kehilangan harta benda, orang-orang disayangi dan segala-galanya perlu dikorbankan hingga nilai dan maruah diri sendiri.  Melalui novel Salina, A. Samad Said banyak mendedahkan kesan penjajahan Jepun seperti soal pelacuran, pengangguran, kemiskinan, darurat, pilihan raya di samping turut mengabdikan pengalaman hidupnya sendiri di Kampung Kambing, Singapura yang hanya indah serta makmur pada zahirnya sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.        


2.0              Ciri-ciri Karya Agung dalam Novel Salina
2.1              Pemikiran (Isi dan Mesej)

a)      Isu kemiskinan
Contoh isu kemiskinan yang ditonjolkan oleh pengarang dalam novel ini ialah masyarakat pada zaman itu terpaksa tinggal dalam kandang kambing yang telah diubahsuai untuk dijadikan bilik sewa dan tempat tersebut dikenali sebagai Kampung Kambing.  Contoh petikan yang terdapat dalam novel Salina yang menceritakan tentang kemiskinan penduduk, iaitu:
Kampung itu lama dikenal sebagai “Kampung Kambing”.  Ia dikenal demikian, kata orang yang tahu sejarahnya, kerana rumah-rumah yang didirikan di situ sebenarnya berasal dari kandang-kandang kambing.  Kandang-kandang ini dibesarkan oleh tuan punyanya untuk dijadikan rumah sewaan. (Salina: 2)
Kambing ini terpaksa mengambil air di bilik-bilik mandi itu juga, yang dirasakan oleh mereka sendiri adalah haknya, terutama kerana orang yang menyewakan bilik-bilik kepada mereka itu ialah orang-orang India yang tinggal di petak itu juga. (Salina: 4)

b)     Peranan dan cara hidup kaum perempuan
i.                    Wanita sebagai pelayan
Cara hidup kaum perempuan yang pertama yang dinyatakan oleh A. Samad Said dalam novel Salina ialah wanita sebagai pelayan.  Pekerjaan sebagai pelayan dalam kalangan golongan wanita begitu dominan pada zaman perang.  Melalui Novel A.Samad Said, iaitu Salina memperlihatkan watak wanita yang bekerja sebagai seorang pelayan.  Dalam novel ini, memperlihatkan watak Zarina dan Nahidah.  Zarina merupakan ibu tiri kepada Nahidah dan bekerja sebagai seorang pelayan untuk menyara hidupnya.  Contoh dalam petikan yang menunjukkan Nahidah dipaksa menjadi pelayan iaitu,
“Mak dah pun carikan kerja untuk kau,” kata Zarina mendekat ke maksud utamanya. “Kerja tu dah pun mak dapatkan, cuma tunggu jawapan dari kau saja. Mak harap benar kau mahu bekerja.” (Salina: 162)
“Kerja di kedai kopi. Bila orang datang kau oergi kepadanya, tanya dia hendak minum apa dan endak makan apa dan…”(Salina: 163)

ii.                  Kaum wanita menjadi pelacur
Dalam Novel Salina oleh A.Samad Said telah memperlihatkan watak Salina sebagai seorang wanita yang mencari nafkah dengan menjual kehormatan dirinya.  Faktor sejarah hitam yang dilalui oleh Salina seperti pernah dirogol oleh tentera jepun mendorong Salina  untuk menjadi seorang pelacur.  Jika dilihat melalui watak Salina, jelas memperlihatkan bahawa pemikiran golongan wanita pada masa dahulu begitu cetek sehingga memilih jalan hitam bagi meneruskan kehidupan.  Contoh petikan yang menunjukkan Salina seorang yang berhati mulia iaitu,
…Dan seorang daripada jiran-jirannya yang dirasanya begitu bertimbang rasa kepadanya ialah Siti Salina, kerana Siti Salina, selain dari memberi nasihat, tidak lokek-lokek pula memberinya wang pada sebarang ketika yang diperlukannya benar. (Salina: 192)

iii.                Kaum perempuan mampu mencari rezeki yang halal
Melalui novel Salina, kita dapat melihat watak seorang ibu tunggal, iaitu Katijah yang terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di empat buah rumah orang inggeris demi menyara anaknya yang sedang belajar, iaitu Hilmy.  Contoh petikan yang menunjukkan Katijah mengambil upah mencuci pakaian, iaitu:
“Bukan kerja apa-apa; cuma cuci kain dan baju saja,” Katijah menerangkan. “Hari ni kakak cuci kain baju di rumah Nyonya Swee Kim dan Encik Burhan. Esok cuci di rumah orang lain pula. Begitu bergilir-gilir. Kalau tak begitu manalah nak dapat duit,” Katijah memandang Hilmy dan berkata, “nak harapkan budak ni, kurang-kurang kena tunggu dua tiga tahun lagi…(Salina: 38).

2.2              Nilai Budaya
Budaya adalah daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal.  Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia.  Dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia.  Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan
i.                    Nilai kasih sayang
Dalam novel Salina, kajian dapat melihat bagaimana nilai kasih sayang diterapkan oleh pengarang.  Nilai ini dapat dilihat melalui hubungan Salina dan Abdul Fakar.  Abdul Fakar bermonolog kepada dirinya sendiri dengan mempersoal kebaikan Salina kepada dirinya.
“Mengapa Siti Salina begitu menyayanginya, tidak pernah dipersoalkannya.  Dan apakah Siti Salina menyayanginya itu untuk selamanya atau pun untuk seketika sahaja, tidaklah dipersoalkannya.  Yang difikirkannya hanyalah waktu sekarang ini sahaja.  Sekarang dia senang; hidupnya “makan tanggung, berak cangkung!”  Masa depannya itu diyakininya penuh dengan kemungkinan-kemungkinan gilang-gemilang “makan tanggung, berak cangkung” juga.” (Salina: 94)
ii.                  Nilai nasihat-menasihati
Salina menyedari kata-kata dari Katijah membuatkan dia ingat pada dirinya sendiri tentang nilai hidupnya itu.  Katijah telah memberi nasihat kepada Salina supaya masa depan seorang wanita tidak selalunya cerah, ada tikanya mendung.  Jadi, langkah berjaga-jaga dengan membuat tabungan penting pada hidupnya itu.
“Aku tahu aku tidak akan insaf kalau Katijah tidak mengingatkan aku tentang masa depanku itu, fikirnya.  Aku tidak insaf kalau tidak Katijah mengatakan kepadaku bahawa di suatu hari orang tidak akan memandang aku dengan sebelah matanya pun di ketika aku sakit dan di ketika aku tua, fikirnya.  Tetapi sekarang ini aku sedar ini semua, dan aku yakin harinya akan datang, sebab itulah aku bersedia-sedia.” (Salina: 109)
2.3              Pandangan Hidup
Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972). Pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam dari perspektif Islam ialah pandangan tentang akhirat.  Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
a)                  Pandangan hidup mengenai mempelajari agama Islam
Walaupun kehidupan masyarakat yang serba kekurangan namun pelajaran terhadap ilmu agama tetap dipentingkan.  Dalam Novel Salina ini jelas ditunjukkan dalam watak Pak Haji yang dianggap nyanyuk oleh Hilmy.  Pak Haji merupakan orang tua yang sangat mementingkan nilai agama kerana dialah yang mengajar kanak-kanak yang ada di kawasan perumahan itu mengaji.  Contoh:
“Entahlah kak, tapi saya rasa tidak pula begitu, dialah yang mengajar budak-budak mengaji di sini.  Murid-muridnya banyak.  Pendeknya, budak-budak di sini semuanya belajar mengaji dengannya,” kata perempuan muda yang cantik itu. (Salina: 11)
b)                 Pandangan hidup mengenai pentingnya pelajaran
Perkara ini jelas ditunjukkan oleh watak Salina dan Hilmy yang sangat mementingkan pelajaran yang mana Salina menjelaskan kepada Hilmy betapa pentingnya pelajaran sekiranya hendak berjaya apabila dewasa kelak.  Salina menjelaskan kepada Hilmy sekiranya mendapat peluang untuk menyambung pelajaran dia harus mengambilnya.  Salina turut menyatakan mengenai biasiswa yang boleh didapati sekiranya pelajar itu kurang berkemampuan tetapi hebat dari segi akademik.  Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Salina amat mementingkan pelajaran.  Contoh:
Hilmy tak tau sekarang ini bagaimana susah orang nak dapat kerja?” kata Siti Salina menyambung lagi, “kalau tak ada certificate sekolah, tak dapat kerja. Kalau tak ada kerja bagaimana nak makan, dan kalau tak ada makan, bagaimana nak hidup? Orang sekolah hendak apa? Kerana nak senang kemudian harilah. Jadi terlanjur ada peluang bersekolah tu belajarlah baik-baik. Janganlah difikirkan soal lain dulu. Tunggulah dan belajarlah sampai dah lulus dan dah dapat certificate yang baik. Nanti bolehlah dapat kerja yang baik. Kalau berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negeri pun,  janganlah dilepaskan. Itulah yang lebih baik. Kakak fikir kalau Hilmy belajar betul-betul tentu Hilmy dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri; tentu Hilmy akan dapat scholarship. Sekarang ini khabarnya anak-anak orang miskin selalu diberi scholarship kalau otaknya baik.” (Salina: 120)

2.4              Nilai Ilmu
Para sosiologi menyatakan baberapa pengertian nilai iaitu:
a)      Anthony Giddens - nilai adalah gagasan-gagasan yang dimiliki seseorang atau kelompok tentang apa yang dikehendaki, apa yang layak, dan apa yang baik dan buruk
b)      Horton dan Hunt - nilai adalah gagasan-gagasan yang menjelaskan tentang apakah suatu tindakan itu penting atau tidak penting.
c)      Richard T Schaefer dan Robert P. Iamm - nilai adalah gagasan kolektif  yang menyangkut tentang apa yang dianggap baik, penting, diinginkan dan dianggap layak.
Manakala ilmu pula diertikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan cara tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. 
a)                  Ilmu Pengetahuan Nyata (Explisit Knowledge)
Pengetahuan nyata (eksplisit) adalah pengetahuan yang dapat ditemukan secara fizikal, mudah dikomunikasikan dan mudah dipelajari orang lain.  Misalnya pengetahuan yang terdapat dalam buku, dokumen dan lain-lain.  Nilai ilmu yang terdapat dalam novel Salina ialah:
i.                    Ilmu sejarah
Ilmu sejarah adalah salah satu cabang ilmu pengetahuan yang meneliti dan menyelidiki secara sistematik keseluruhan perkembangan masyarakat serta kemanusiaan di masa lampau beserta kejadian-kejadian dengan maksud untuk menilai secara kritis seluruh hasil penelitiannya.
“Di sekolah, Hilmy belajar sejarah.  Belajar sejarah samalah juga seperti ambil tahu tentang diri orang dulu-dulu.  Dan kita belajar tu pula bukanlah belajar saja: kita fikirkan juga tentang senang susah orang dulu-dulu.  Kita ikuti bagaimana seorang yang susah itu maju sehingga dapat mencarikan sebuah benua untuk bangsanya.” (Salina:134)
ii.                  Ilmu menulis dan membaca
Meskipun penduduk Kampung Kambing hidup dengan serba kekurangan, namun mereka menyedari pendidikan merupakan jalan penyelesaian untuk keluar daripada kemisikinan yang mereka hadapi.  Walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat meneruskan persekolahan, tetapi mereka masih mampu menulis dan membaca.
“Saya tak sangka Nahidah boleh menulis surat sesedap itu” kata Hilmy bila dilihatnya Nahidah masih juga menundukkan kepalanya.  Apa yang dicakapnya itu benar, Nahidah pandai mengarang. (Salina:260)
b)                 Ilmu Pengetahuan Tidak Nyata (Tacit Knowledge)
Ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori, dan seumpamanya yang kebiasannya sukar dilihat dengan mata kasar.  Pengetahuan tasit adalah pengetahuan yang  sulit diterjemahkan dalam bentuk bahasa dan sulit untuk dipelajari oleh orang lain.  Nilai ilmu pengetahuan yang terdapat dalam novel Salina ialah:
i.                    Ilmu firasat
Berikut merupakan contoh ilmu firasat yang terdapat dalam Novel Salina:
“Dunia dah tua.  Perang akan merebak.  Semua bangsa akan masuk campur termasuklah Turki sekali.  Kalaulah Turki masuk campur berertilah perang sabil.  Pendeknya dunia ini akan kiamatlah” (Salina: 220)
Sewaktu pengeboman Jepun meliar di Singapura, selama seminggu berturut-turut, sorang tua telah memberikan satu ramalan yang mengkhuatirkan seperti yang telah dinyatakan semua orang mempercayai ramalan tersebut namun mereka tidak menyangkakan bahawa hal itu benar-benar berlaku apabila mereka mendapati hari demi hari  banyak tempat di Singapura telah dibom dan banyak orang yang mati.
ii.                  Ilmu perniagaan
Ilmu perniagaan ini dapat dilihat daripada keluarga Salina dan Nahidah.  Sebelum berlakunya perang dunia kedua ini, kedua-dua ayah Salina dan Nahidah merupakan orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta terlibat dengan aktiviti perniagaan yang besar.  Berikut merupakan contoh ilmu perniagaan yang boleh dilihat daripada novel Salina.
Perniagaan di Sungai Road semakin maju.  Tetapi hanya beberapa orang sahaja-mereka mendapat barang-barang sojar yang diperoleh secara pasar gelap.  Ayah Nahidah sendiri kurang beruntung. (Salina: 144)
iii.                Ilmu ketenteraan
  Ilmu ketenteraan dalam novel Salina dapat dilihat melalui watak Hilmy dan Mansur yang terlibat dengan latihan ketenteraan.
“Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana.  Kabarnya kami akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat “bandage” dan merawat luka!).  Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata  untuk membunuh  manusia yang menjadi musuh”.           (Salina: 125)


2.5              Estetika dan Kepengarangan
Estetik berkait rapat dengan persoalan keindahan yang membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya.  Manakala kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya (Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, 2014: 96).  Dalam sesebuah karya, nilai estetik dan kepengarangan merupakan dua aspek penting yang boleh mempengaruhi kedudukan teks tersebut. Terdapat beberapa teknik kepengarangan  A. Samad Said dalam novel Salina, antaranya ialah:
a)                  Penulisan novel Salina berbentuk autobiografi
Karya bentuk autobiografi biasanya ditulis oleh tokohnya sendiri tentang peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku.  Novel Salina berbentuk autobiografi kerana pengarang sendiri yang mengarangnya.  Novel ini membuka dan membongkar keperitan hidup masyarakat Melayu di sebuah perkampungan kecil di Singapura akibat Perang Dunia Kedua.
Novel ini ditulis berdasarkan kesan pengalaman hidup yang musnah dalam peperangan, iaitu pengalaman langsung pengarang sebagai mangsa perang ketika itu.  Kesengsaraan akibat perang telah mengalirkan bakat dan kebolehannya untuk melukiskan semula pengalaman itu dalam bentuk kreatif.  Selain itu, nama-nama tempat yang dinyatakan dalam Salina juga benar-benar wujud seperti Kampung Kambing dan Sekolah Melayu Kota Raja dan Victoria Institution.  Pengarang pernah mendapat pendidikan formal di kedua-dua sekolah tersebut.
b)                 Kepelbagaian teknik penulisan Salina
Dalam novel Salina, pengarang banyak menggunakan teknik dialog, teknik monolog dalaman dan teknik imbas kembali.  Peristiwa-peristiwa dalam novel dikisahkan dengan baik menggunakan teknik-teknik tersebut.
i.                    Teknik dialog
Teknik dialog digunakan untuk menjadikan sesuatu cerita lebih menarik.  Pada kebiasaannya, teknik pemerihalan atau penceritaan paling banyak digunakan dalam karya penulisan.  Walau bagaimanapun, kekerapan penggunaan teknik ini boleh menyebabkan pembaca berasa bosan.  Oleh itu, pengarang novel Salina, A. Samad Said memasukkan teknik dialog untuk menjadikan cerita lebih hidup dan dekat dengan pembaca.  Teknik ini dapat menarik perhatian pembaca. Contoh petikan dialog:
“Emak Hilmy mana?” tanya Siti Salina memulakan lagi tetapi dengan soalan lain.
“Dah keluar, pergi cuci kain.”  
“Keluar cuci kain di mana?”
“Di rumah orang.” “O, bekerja cuci kain?” (Salina: 48)
ii.                  Teknik monolog dalaman
Pengarang juga menggunakan teknik monolog dalaman dalam Salina untuk menampakkan peribadi dan konflik sesuatu watak secara jelas.  Contoh:
Zarina berkata di dalam hatinya sungguh-sungguh. “Ya, laki-laki tentu akan tergila-gilakan Nahidah!”. (Salina: 252)
Petikan di atas menunjukkan monolog dalaman Zarina yang memikirkan rancangan yang tidak elok untuk anak tirinya, Nahidah.  Di sini boleh terlihat peribadi Zarina yang tidak baik.
c)                  Penggunaan bahasa asing
Pengarang turut menerapkan penggunaan bahasa Inggeris dan Tamil yang akan menghidupkan lagi suasana latar masyarakat dalam novel.  Contoh pengguaan:
Bahasa Inggeris: shut up, a bunch of stupid boys, oh heavens
Bahasa Tamil : ayoyo kadawelle, dey  (Salina: 55)
d)                 Penerapan unsur humor
Secara keseluruhannya, novel ini menceritakan kesengsaraan hidup masyarakat selepas perang yang banyak menggambarkan perasaan sedih, marah dan sebagainya.  Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan kebosanan dalam pengisahan cerita, pengarang telah menerapkan unsur humor dalam novel Salina.  Contoh unsur humor boleh didapati dalam halaman 55, iaitu kisah lucu Hilmy yang belajar bahasa Inggeris dalam kisah ‘Monkey has a long, long tail’.

2.6              Seni Bahasa
Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), gaya bahasa merupakan cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan.  Selain itu, gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.  Antara gaya bahasa yang terdapat dalam novel Salina ialah:
i.                    Anafora
Misalnya:
(a)    Dia diam pula kerana disedarinya bahawa Hilmy tidak mendengarkannya sepenuhnya, mungkin tidak semuanya.  Dia melanjutkan dengan suara yang semakin ditinggikan: suara meminta perhatian:... (Salina: 23)
(b)   Dan diketahuinya juga bahawa dia boleh keluar dari rumah itu: dia boleh meninggalkan keluarga Zarina, tapi ada sesuatu yang menghalangnya–suara hatinya yang mengingatkan selalu bahawa dia telah terhutang budi kepada keluarga Zarina, walaupun bukan Zarinanya.  Dan selain dari itu pula ada sebab lain yang menghalangnya juga, sebab yang lebih berat dan berkesan. (Salina: 41)
ii.                  Polisidenton
Polisidenton ialah penggunaan kata hubung yang banyak dalam sesuatu ayat.  Dalam novel Salina, terdapat juga penggunaan gaya bahasa ini seperti yang dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut:
(a)    Di sana sini lecak sahaja, dan di tanah banyak air yang tertakung-bertakung di tanah yang lekak-lekuk dan di beberapa buah tin dan botol yang terselit-selit di celah pokok pisang. (Salina: 25)
(b)   Mereka semuanya sedang memasak; ada yang sedang memarut kelapa, ada yang sedang menggiling rempah dan ada yang sedang membuangkan air nasinya. (Salina: 77)
iii.                Simile
Simile dikenali juga sebagai perumpamaan.  Gaya bahasa ini lazimnya menggunakan kata-kata perbandingan dan kata-kata ini bersifat eksplisit.  Kata-kata perbandingan tersebut ialah seperti, bak, laksana, bagai, ibarat, tamsil, umpama dan sebagainya. Sebagai contoh:
(a)    Hatinya tidak aman; kalau hatinya itu sebuah okestra tentulah seperti okestra yang tidak harmonis! (Salina: 19)
(b)   Mereka diam sediam kuburan di waktu subuh. (Salina: 19)
iv.                Disfemisme
Disfemisme merujuk kepada penggunaan kata atau perkataan yang kasar dan tidak sopan dalam sesebuah ayat.  Dalam novel Salina, terdapat beberapa penggunaan bahasa yang kasar ini.  Antaranya ialah:
(a)    “Alamak ini Kurupaya banyak cilaka.  Sudah banyak wang, sekarang mahu banyak wang lagi,” kata Benggali jaga itu meludah-ludah sambil pergi duduk pula di jurinya. (Salina: 4)
(b)    “Katanya saya, saya sundal!” (Salina: 19)
v.                  Hiperbola
Hiperbola merupakan sebuah teknik kepengarangan yang memberi gambaran yang berlebih-lebihan terhadap sesuatu yang diperkatakan.  Penggunaan hiperbola dalam novel Salina dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut:
(a)    “Mak marah-marah saja. Katanya dengan wang yang sedikit itu apa yang hendak dibelikan. Nak selit di celah gigi pun tak cukup, katanya. ...” (Salina: 19)
(b)   “Sebab itulah saya masuk campur.  Emak terbakar, lalu dilemparkannya kulit kayu balak kepada saya dan dipekikkannya kuat-kuat: “Hei, kau sundal!”
vi.                Personifikasi
Personifikasi merujuk kepada gaya bahasa yang melukiskan sesuatu benda dengan memberikan sifat-sifat manusia kepada benda-benda mati sehingga seolah-olah memiliki sifat seperti manusia atau benda hidup lainnya.  Dalam erti kata lain, gaya bahasa personifikasi merupakan gaya bahasa yang "menggambarkan benda mati seolah hidup".
            Berikut merupakan beberapa contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam novel Salina:
(a)    Dia berkemban, dan kedua belah bahunya tertutup oleh tuala mandi yang kecil; rambutnya yang disiput longgar, kusut; beberapa helai rambutnya menutupi dahinya, dan melenggang-lenggang ke sana ke mari bila ditiup angin sesekali. (Salina: 25)
(b)   Rokok itu dibuangnya ke rumput; asapnya melenggang-lenggang. (Salina: 50)
vii.              Peribahasa
Antaranya ialah:
(a)    Cekik darah
(b)   Tergigit lidahnya
viii.            Bahasa Inggeris
Misalnya:
(a)    Dia tidak tahu berbahasa Inggeris, kecuali beberapa patah perkataan seperti yes, no, bastard, one-two-three dan yang paling panjang sekali monkey has a long, long tail … (Salina: 36)

3.0              Kesimpulan
Novel Salina ini dapat memberikan kepuasan kesenian bukan sahaja kepada masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat antarabangsa.  Novel ini menjadi titik penting dalam pemisah antara novel-novel sebelumnya dengan novel-novel yang selepasnya.  Disamping itu, novel ini juga merupakan garis pemisah antara penulis lama dan baru dan antara A. Samad Said dengan penulis tahun-tahun 50-an.  Novel ini membawa teknik yang luar biasa, watak dan perwatakannya benar-benar hidup sebagai manusia yang berdarah daging, tidak jahat semata-mata dan tidak baik semata-mata.  Novel ini juga merupakan novel yang mendapat penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1985.  Novel Salina ialah novel pertama yang tebal dan mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap antarabangsa.