Karya Agung
Salah satu bukti atau bahan yang
boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal
ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar
dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah
seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya.
Karya yang ketika dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau
sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi
rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, apabila sesebuah
masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai
bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka.
Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun
tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat
tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga
boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat
seperti ini disebut sebagai karya agung.
Karya agung merupakan karya klasik
yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah
hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya
agung dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya masyarakat yang
menghasilkannya. Ia juga melambangkan daya cipta dan kerativiti sesuatu
bangsa untuk melambangkan identitinya yang tersendiri. Hal ini menyebabkan
falsafah, pemikiran, karya seni, budaya dan sastera yang terdapat dalam karya
agung menjadi pegangan dan panduan bagi masyarakat yang yang hidup pada
zaman ini. Karya-karya agung ini mengungkapkan pelbagai perkara
termasuklah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan karya agung
yang ada pada hari ini dikaji untuk diketahui isi kandungannya dan ada di antara
isi kandungan itu masih berguna sehingga hari ini dan dipelajari. Keadaan
ini membuktikan bahawa karya agung itu adalah satu hasil penulisan yang
berkualiti dan ditulis oleh orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi
dalam masyarakat tersebut.
Karya Agung Melayu
Karya agung Melayu ialah karya yang
melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis, dan pemikir bangsa Melayu
pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat,
budi, kesedaran moral, dan visi bangsanya. Kesemuanya itu digambarkan dalam
bentuk sastera dan seni yang tinggi niainya sehingga kesan seni, budaya dan
falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun
Melayu banyak terbentuk daripada tradisi sastera agung ini. Karya agung Melayu
bererti karya yang ditulis atau diungkapkan dalam bahasa Melayu. Karya-karya
ini termasuklah pepatah, pantun, penglipur lara dan lain-lain. Ia tidak
mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini sama
ada orang semenanjung Tanah Melayu, Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan
lain-lain. Sempadan geogerafi tidak menjadi persoalan, sebaliknya pemikiran
yang mampu dicetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, sistem nilai dan
kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun itu yang
diutamakan.
Antara karya-karya Agung Melayu yang
terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya
iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan
dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang
dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja
Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang
melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat
Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan
satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya,
kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri
karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari
ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah
seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat
Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat
Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.
No comments:
Post a Comment